PETALING JAYA – “Dia (pengemis) ambil duit kemudian dia cakap, ‘bodoh, kedekut betul seringgit saja’, dan campak duit tu dalam bekas semula.”
Itu luahan seorang individu yang kecewa dengan tindakan peminta sedekah di tepi kaki lima selepas tidak berpuas hati apabila dia memberi sumbangan sebanyak RM1.
Menerusi perkongsian tangkap layar komen pengguna media sosial itu oleh Pakar kewangan dan hartanah, Dr. Azizul Azli Ahmad, individu berkenaan terlalu kecewa dengan tindakan pengemis berkenaan sehingga menyebabkan dia menangis.
“Sebab aku (sedekah) tengok bekas dia macam kosong lagi. Lepas aku nampak (dia campak) tu, aku menangis.
“Aku rasa seringgit aku tak dihargai. Terus timbul rasa tak ikhlas, menyesal dan tak nak sedekah dekat orang dah,” luahnya.
Perkongsiannya itu mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai termasuk mereka yang turut mengecam, mahupun yang menasihatinya agar terus berfikiran positif.
“Peminta sedekah zaman sekarang sudah canggih, tak pandai bersyukur,” komen seorang pengguna.
“Saya lebih suka sedekah pada orang yang sedang bekerja seperti tukang sapu, mesin rumput, cuci tandas, hantar barang dan lain-lain. Saya sangat hargai usaha mereka bekerja mencari rezeki halal,” ujar seorang lagi pengguna.
“Jangan begitu dik. Niat adik dah sangat baik, boleh tukar sedekah tu ke tabung masjid, rumah anak yatim atau pusat tahfiz. Insya-Allah, pahala berpanjangan,” cadang Afız Azwardi Mohd Salleh. – KOSMO! ONLINE