KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung satu sidang akhbar isu “kutty” pada Disember lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong memutuskan demikian selepas mendengar permohonan ex-parte atau sebelah pihak dalam prosiding dalam kamar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi media berkata, mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya untuk memulakan prosiding itu.
Pada 5 Disember lalu, Dr. Mahathir telah membuat satu sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding kes samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu ‘kutty’,
Dalam sidang akhbar itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi tersebut didakwa telah menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalannya.
Beliau memberitahu, semua salinan kad pengenalan berkenaan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pada 5 Disember tahun lepas, Dr. Mahathir selaku plaintif selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu sementara anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai saksi terakhir plaintif pada 9 Disember tahun sama.
Ahmad Zahid pula dijangka memberi keterangan sebagai saksi defendan pada 14 Mei sepan.
Sebelum ini, Dr. Mahathir memfailkan saman itu berhubung isu “kuty” dengan menamakan Ahmad Zahid, 72, sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah, dan berniat jahat yang secara langsung merujuk kepada dirinya. Kenyataan itu dibuat ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr. Mahathir percaya bahawa individu dirujuk dalam kenyataan fitnah tersebut sebagai ‘orang itu’, ‘dia’, dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepada dirinya.
Beliau mendakwa, kenyataan Ahmad Zahid yang berniat jahat itu menyebabkan beliau terdedah kepada kebencian masyarakat, selain menjejaskan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang dihormati di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE