fbpx

Aaron tak kisah hilang status No. 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kanan) menganggap persaingan sihat dengan Sze Fei-Izzuddin untuk rebut gelaran No. 1 Malaysia. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

PEMAIN beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia tidak memberi perhatian terhadap statusnya sebagai pasangan No. 2 negara selepas dipintas gandingan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sebaliknya, bekas juara dunia bersama Soh Wooi Yik itu menganggap Sze Fei-Izzuddin layak memegang status tersebut kerana aksi cemerlang ditampilkan sepanjang saingan musim lalu.

Kejayaan beregu profesional itu muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China pada Disember lalu memaksa Aaron-Wooi Yik melepaskan status No. 1 Malaysia yang disandang sejak 2019.

“Ia sesuatu yang bagus kerana dalam beregu lelaki, kita boleh tengok gandingan-gandingan lain meningkat naik. Saya tidak kisah sama ada status No. 1 ataupun No. 2.

“Semua pemain mewakili Malaysia, prestasi mereka cukup baik sejak kebelakangan ini dan mereka memang layak. Kami fokus untuk berjuang sahaja,” katanya ketika ditemui pada sesi ujian gelanggang di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

Kedua-dua beregu itu akan membuat perhitungan sesama sendiri pada Terbuka Malaysia kali ini sekiranya layak ke perlawanan akhir, namun laluan mereka dijangka cukup berliku.

Sementara itu, Aaron percaya pemain-pemain yang menggalas misi kali ini pastinya turun dengan semangat cukup tinggi memandangkan kali terakhir Malaysia menjadi juara menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei pada 2018.

“Saya percaya dalam tempoh enam tahun ini, semua pemain meletakkan harapan untuk dapatkan gelaran di laman sendiri tetapi ia tidak mudah. Saya rasa semua pemain akan tampilkan aksi terbaik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI