PARIS – Pemilik sebuah rumah di utara Perancis melakukan helah untuk mengusir penyewanya dengan cara mencabut tingkap dan pintu kediaman semasa musim sejuk, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Pada 20 Disember tahun lalu, beberapa pekerja tiba di sebuah rumah di Pas-de-Calais dan mula mencabut tingkap serta pintu sebuah rumah.
Mereka memberitahu penyewa bahawa pemilik rumah mahu menukar pintu dan tingkap baharu, namun kemudian berlalu pergi tanpa memasangnya semula.
Menurut penyewa, situasi itu menyebabkan dia terpaksa memasang kadbod bagi menutup bahagian yang terdedah.
Tindakan tersebut juga membuatkan keluarganya terpaksa berdepan suhu sejuk dan risiko rumah dipecah masuk.
Ketika dihubungi media tempatan, pemilik rumah mengaku dia bertindak demikian kerana penyewa gagal membayar duit sewa selama lima bulan.
“Mereka juga tidak membayar insurans rumah ini sedangkan pada awalnya kami sudah bersetuju bahawa penyewa yang perlu membayarnya,” katanya.
Persatuan Pemilik Rumah Perancis memberitahu pemberita bahawa mereka memahami motif tuan rumah, namun ujarnya, kaedah digunakan untuk memaksa penyewa meninggalkan hartanah itu menyalahi undang-undang. – AGENSI