fbpx

1,000 pesakit terpaksa tunggu lama dalam ambulans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang anggota perkhidmatan ambulans membantu memindahkan pesakit dari ambulans ke Hospital St Thomas di London pada 31 Mac 2020. - AFP

LONDON  – Satu laporan mendedahkan bahawa lebih 1,000 pesakit di England mengalami risiko kemudaratan dalam masa 24 jam berikutan kelewatan mereka dipindahkan dari ambulans sejurus tiba di hospital, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Pada 2024, seramai 414,137 pesakit kecemasan berada dalam situasi berbahaya kerana mereka terpaksa menunggu lama di dalam ambulans untuk dimasukkan ke hospital. 

Daripada jumlah itu, 44,409 orang atau lebih daripada 850 pesakit seminggu, mengalami ‘potensi bahaya yang teruk’, dengan kelewatan boleh mengakibatkan kemudaratan jangka panjang atau kematian.

Secara keseluruhan, ambulans-ambulans di England menghabiskan masa lebih 1.5 juta jam atau bersamaan dengan 187 tahun, terkandas di luar jabatan kecemasan bagi menunggu untuk membawa masuk pesakit setakat November 2024, demikian menurut siasatan The Guardian.

Kelewatan berlaku apabila ambulans tiba di jabatan kecemasan tetapi tidak dapat menyerahkan pesakit kepada kakitangan disebabkan kesibukan unit tersebut. 

Ia juga bermaksud pasukan paramedik tidak dapat kembali ke jalanan  untuk merawat atau mengambil pesakit lain.

Kelewatan itu membuatkan pesakit sama ada terpaksa menunggu di belakang ambulans atau dipindahkan ke jabatan kecemasan, tetapi kakitangan hospital tidak bersedia untuk menyelesaikan penyerahan daripada pasukan paramedik.

Panduan kebangsaan bagi sistem kesihatan England menyatakan bahawa pesakit yang tiba di jabatan kecemasan dengan menaiki ambulans mesti diserahkan kepada penjagaan kakitangan kecemasan dalam masa 15 minit.

Pada minggu lepas, hampir satu pertiga daripada pesakit yang tiba dengan ambulans di hospital-hospital di England terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 30 minit untuk diserahkan kepada pasukan jabatan kecemasan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI