TIDAK mudah menjadi seorang pelajar dan juga bekerja dalam satu masa. Bagi sesetengah mahasiswa, melakukan kerja sambilan merupakan satu perkara yang sudah biasa untuk mereka.
Kebanyakan mereka yang bekerja sambil belajar ini biasanya menjalankan perniagaan sendiri atau membantu ibu bapa berniaga.
Berkongsi kisah bersama K-Kampus, gadis cantik bernama Yasmin Qamarina Hilmi mengakui tidak pernah malu bekerja membantu keluarganya menjual ayam goreng di pasar malam.
Pun begitu, niat murninya itu sering kali disalah anggap apabila kerap menerima ejekan serta hinaan daripada netizen terutama ketika sedang melakukan siaran langsung (live) semasa berniaga.
“Dekat universiti bukan main pakai cantik-cantik dan nampak style, padahal jual ayam goreng saja,” demikian antara komen sinis yang pernah dilemparkan netizen kepadanya.
Meskipun dihina, Yasmin Qamarina, 21, memberitahu, dia langsung tidak mengambil hati, apatah lagi malu bekerja di gerai ayam goreng yang diusahakan keluarganya di ibu negara.
Malah, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu bersyukur kerana berpeluang membantu ibu bapanya mencari rezeki halal walaupun masih belajar.
Menurut Yasmin Qamarina, bapanya mula menceburi bidang perniagaan itu pada 2015 kerana minat yang mendalam.
“Sebelum ini ayah saya kerja dalam bidang pemasaran dan pada masa sama dia memang minat berniaga.
“Jadi, masa itu ayah mula berniaga ayam goreng di Tasik Darul Aman di Jitra, Kedah.
“Tetapi beberapa tahun selepas itu kami sekeluarga terpaksa berpindah berniaga ke Kuala Lumpur sewaktu Covid-19 dan itu sahajalah punca pendapatan keluarga kami,” katanya.
Jelas Yasmin Qamarina, dia mula membantu ibu bapanya sejak berumur 12 tahun hinggalah ke hari ini.
Beritahunya, dia akan pulang setiap kali cuti hujung minggu dan cuti khas untuk membantu ibu bapanya berniaga. Meskipun penat belajar dan menjalani rutin mingguan, anak jati Kedah ini bagaimanapun tidak pernah mengeluh dengan apa yang dilaluinya sekarang.
“Penat itu memanglah. Tak dinafikan kadang-kadang saya rasa hampir putus asa juga, tetapi tetap kena teruskan sebab masih belajar.
“Lagipun dengan duit poket inilah saya dapat beli barang dan kelengkapan keperluan di universiti,” katanya yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan.
Tambah anak bongsu daripada dua adik beradik ini, memiliki wang sendiri memberi kebebasan kepadanya untuk berbelanja bagi memenuhi minat dalam berfesyen.
“Bila tengok perempuan lain cantik-cantik, saya pun mula terikut, jadi saya dress up sedikit demi sedikit.
“Saya juga cuba dan cari peluang jadi model sebab minat mendalam dengan dunia fesyen serta kecantikan,” tuturnya.
Yasmin Qamarina memasang cita-cita yang besar untuk bergelar usahawan dan model berjaya pada masa akan datang.