KLUANG – Seorang wanita maut, manakala lapan individu yang lain termasuk pemandu lori cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di Kilometer 86 Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam semalam.
Dalam kejadian pukul 7.15 malam itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Widiani Afendi, 39.
Difahamkan, mangsa bersama enam keluarganya dalam perjalanan pulang balik selepas selesai menghadiri majlis pertunangan adiknya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori dalam perjalanan dari arah Simpang Renggam ke Ayer Hitam manakala Toyota Estima datang dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkannya berlanggar dengan Toyota Estima.
“Akibat dari kejadian itu, Widiani yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Menurut Bahrin, pemandu MPV dan enam lagi penumpang termasuk tiga daripadanya kanak-kanak berusia tujuh bulan hingga tujuh tahun mengalami kecederaan dengan sebahagian daripada mereka parah serta dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Pemandu lori yang luka di bahagian kepala dan cedera dalaman di dada sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Batu Pahat. – KOSMO! ONLINE