PETALING JAYA – “Itulah dah cakap tapi tak mahu dengar. Kan dah kantoi,” kata Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Dalam nada sinis, beliau berkata, isu kewujudan Titah Addendum untuk Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya ‘perkara mudah’.
Katanya, pihak terlibat bagaimanapun enggan berterus terang sama ada titah tersebut tersebut wujud atau tidak.
“Kan saya dah kata. Kalau ada katalah ada. Berterus terang soal ‘simple’ (mudah), jawapan mudah. Sekarang terbukti ada. Wujud dan sahih.
“Macam mana? Siapa pula yang perlu dipersalahkan? Malu apa, malu apa?” katanya dalam satu rakaman video hari ini.
Hari ini bekas Perdana Menteri itu berjaya mendapat kebenaran di Mahkamah Rayuan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman mengenai kewujudan Titah Adendum.
Keputusan itu dibuat majoriti 2 -1 dengan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib selaku pemohon, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Ketika membaca keputusan itu, Mohd. Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes tersebut diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.
Mahkamah menetapkan tarikh 13 Januari ini bagi pengurusan kes seterusnya. – KOSMO! ONLINE