PETALING JAYA – UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib Tun Razak selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menjunjung kasih Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang telah memperakukan Titah Addendum berkenaan penahanan dalam rumah (house arrest) Najib adalah wujud dan sahih.
Jelas Ahmad Zahid, perakuan kesahihan Titah Addendum itu yang dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Najib yang telah dibuat oleh beliau dan Menetri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini.
“UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Datuk Seri Najib.
“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu, berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan itu dibuat majoriti 2 -1 dengan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib selaku pemohon, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya. – KOSMO! ONLINE.