KUALA LANGAT – Saringan ujian air kencing antara syor prosedur operasi standard (SOP) boleh dilakukan kepada para pengunjung konsert bagi mengelakkan pengambilan atau kematian akibat dadah dalam penganjurannya di Selangor.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, kelengkapan mesin pengimbas juga boleh dilaksanakan agar sebarang bahan terlarang dapat dikesan daripada dibawa masuk ke sesuatu konsert oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, sepatutnya penganjuran sesuatu konsert memberikan impak yang baik namun disebabkan insiden konsert Pinkfish telah beri imej negatif.
“Dulu saya pergi ke Genting Highlands menyaksikan konsert Kitaro, semua diperiksa termasuk mesin pengimbas dan beg dompet pun kena keluarkan.
“Kali ini mungkin urin pun kena ‘check’. Itu antara mungkin syor supaya orang yang menyalahgunakan dadah atau penagih dadah tidak benarkan masuk.
“Jadi kita mahu perketatkan dan tengok mana boleh kerjasama dilakukan antara polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Apabila kita beri lesen atau permit, kita akan pastikan penganjur betul-betul periksa (terutama berkaitan dadah ini),” katanya ketika ditemui selepas bengkel sesi libat urus penyelarasan dan penyeragaman amalan terbaik PBT, hari ini.
Kosmo! kelmarin melaporkan garis panduan baharu dan pelaksanaan sesuatu konsert di Selangor dengan perbincangan akan dilakukan antara Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi dan Suee Lim berhubungnya.
Ini selepas empat termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40-an maut disyaki akibat pengambilan ekstasi selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway dekat sini.
Suee Lim memberitahu, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini bagi melihat kembali mengapa ia boleh terjadi dan perkara yang boleh ditambah baik dalam penganjuran sesuatu konsert.
“Kalau perlu, kita bincang dan mesyuarat antara PBT dan polis. Kes atau orang sebeginilah ( yang mengambil atau mengedar dadah) diumpamakan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga dengan dituduh kita membiarkan sesuatu konsert (tanpa pengawasan sewajarnya).
“Saya juga ambil maklum apa yang Exco Belia dan Sukan (Mohd. Najwan) nampak bahawa kita perlu ada satu garis panduan apabila kemasukan sesuatu pengunjung perlu dilakukan lebih ketat supaya elakkan orang sedemikian berada dalam kumpulan untuk kita mengadakan satu konsert,” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada penangguhan permit konsert itu menganggu Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025, Suee Lim berkata, ia memberikan implikasi dan kesan kepada penganjur yang telah melaburkan wang bagi sesuatu persiapan penganjuran konsert.
Ujarnya, ini memandangkan sekurang-kurangnya tempoh antara tiga hingga enam bulan diperlukan bagi sesuatu konsert dilaksanakan dengan jayanya.
“Setakat ini, saya tiada jumlah konsert telah ditangguhkan, namun saya dimaklumkan satu konsert yang sepatutnya diadakan di taman tema air di Bandar Sunway pada 11 Januari depan telah dipindahkan ke Kuala Lumpur.
“Mereka (penganjur) terpaksa tanggung kerugian sebab masa terlalu suntuk iaitu dalam tempoh masa seminggu (dari konsert Pinkfish). Penganjur tiada pilihan sebab ada arahan penangguhan daripada pihak polis disebabkan elemen keselamatan dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE