PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menangani isu berkaitan kenderaan berat secara menyeluruh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelbagai pihak berkepentingan akan merangka dan melaksanakan pendekatan efektif menerusi pasukan petugas khas demi keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, pasukan petugas khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan.
“Saya telah memberikan mandat kepada Ketua Setiausaha MOT bahawa ‘task force’ ini bukan lagi untuk mengkaji, tetapi task untuk pelaksanaan.
“Beliau akan melaporkan secara terus kepada saya kerja ‘task force’ itu dan saya mahu pastikan ia berjalan secara lancar dan diberikan mandat untuk membuat pelaksanaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini.
Katanya, sebarang langkah-langkah yang boleh diambil segera juga boleh terus dilaksanakan tanpa perlu membuat apa-apa kajian.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu dan berterusan di lapangan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas melibatkan kenderaan berat. – KOSMO! ONLINE