PUTRAJAYA – Peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan hadir di Mahkamah Rayuan di sini hari ini bagi mendengar prosiding rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum.
Pada permulaaan prosiding, Takiyuddin memaklumkan kepada mahkamah beliau bersama tiga lagi Ahli Parlimen memohon untuk menjadi peguam pemerhati bagi kes rayuan hari ini.
Tiga lagi Ahli Parlimen itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Perkara ini dibangkitkan secara serius dalam Parlimen Malaysia khusus Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024. Ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) mengenai titah adendum, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkata beliau tidak boleh menjelaskan isu ini di Parlimen atas alasan subjudis.
“Cadangan yang kami faham daripada kerajaan ialah untuk kami datang (ke mahkamah) untuk memahami isu ini, kami memohon untuk menjadi pemerhati dalam prosiding ini,” katanya.
Pendengaran itu ditangguhkan ke 6 Januari selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa beliau telah memfailkan permohonan pada 3 Disember lepas untuk mengemukakan keterangan tambahan.
Kesemua prosiding itu, akan didengar panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.
Berdasarkan rayuan itu, Najib, 71, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada menerusi Tetuan Shafee & Co.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024. – KOSMO! ONLINE