GERIK – Tindakan tiga lelaki memakai pakaian kontraktor Telekom Malaysia (TM) untuk mengelabui mata pihak berkuasa berkaitan kegiatan curi kabel gagal, apabila mereka diberkas polis semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 31 hingga 36 tahun menaiki van berwarna putih itu ditahan di tepi Jalan Kuala Rui pada pukul 4.30 pagi oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bersia dan Gerik.
Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu kemudiannya menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memotong kabel.
“Dengan dipandu arah oleh ketiga-tiga suspek yang memakai vest pantulan cahaya itu telah menemui tiga gulung kabel yang telah dipotong di tepi jalan berhampiran van.
“Ketiga-tiga suspek ditangkap bersama barang rampasan termasuk pemotong kabel, spanar, tangga aluminium, topi keselamatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pengesahan oleh pihak TM memaklumkan anggaran kerugian yang dialami akibat aktiviti curi kabel kumpulan itu berjumlah RM3,000 dan jarak kabel yang dipotong adalah sepanjang 70 meter.
Katanya, modus operandi ketiga-tiga suspek ialah menggunakan pakaian dan peralatan milik syarikat kontraktor yang berdaftar dengan TM dan menjalankan kerja-kerja pemasangan serta pembaikan kabel syarikat telekomunikasi itu di bahagian utara. – KOSMO! ONLINE