PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bertekad menyelesaikan isu kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan pada tahun ini.
Katanya, dalam menangani isu tersebut, ia memerlukan tindakan bersepadu daripada pelbagai pihak selain melihat semula kepada aspek perundangan.
“Jadi, tahun ini memang fokus kita mahu betul-betul ‘tackle’ isu ‘overloading’. Ia telah berlanjutan berpuluh tahun.
“Tidak pernah ada satu masa atau pun mana-mana satu menteri sebelum ini yang bersungguh-sungguh ataupun berjaya menyelesaikan isu terlebih muatan ini.
“Dan saya mahu menyatakan hasrat dan tekad untuk kita menyelesaikan isu ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dikenakan sebelum ini terhadap kenderaan-kenderaan berat, isu berkenaan masih tidak dapat diselesaikan sekiranya tindakan secara bersepadu tidak dilaksanakan.
“Isu ini memerlukan banyak tindakan (secara) bersepadu dan melihat semula kepada perundangan, ekosistem logistik termasuk kerjasama daripada pihak pelabuhan dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE