PUTRAJAYA – Ratusan penyokong Datuk Seri Najib Razak terus memberikan tanda solidariti kepada bekas Perdana Menteri apabila hadir berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman di sini hari ini.
Bagaimanapun, kumpulan itu hanya berkumpul secara aman tanpa ada sebarang provokasi dibuat.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, mereka mula berkumpul seawal pukul 7.30 pagi tadi bagi memberikan sokongan kepada Najib berhubung rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Semalam, polis menegaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyertai Himpunan Solidariti Terhadap Najib Razak ekoran perhimpunan itu melanggar undang-undang sedia ada.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, susulan itu, orang ramai dilarang menyertai himpunan itu di Istana Kehakiman berikutan tidak mendapat kebenaran.
Terdahulu, polis menolak permohonan penganjur untuk mengadakan himpunan solidariti Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada hari ini.
Bagaimanapun, Pas akan tetap meneruskan penyertaannya dengan menyifatkan kehadiran ke perhimpunan itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Hari ini, Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh bagi pendengaran berhubung rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah. – KOSMO! ONLINE