KUALA LUMPUR – Pertukaran pasangan melibatkan beberapa beregu wanita ternama dunia membuatkan persaingan lebih sengit pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang membuka gelanggang esok.
Ketua jurulatih beregu wanita Akademi Badminton Malaysia, Rosman Razak menganggap gandingan No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah akan berdepan laluan lebih sukar kali ini.
Beliau berkata, kehadiran gandingan-gandingan baharu menyebabkan mereka tiada maklumat terperinci mengenai corak permainan pemain lawan, sekali gus sukar meramalkan apa yang akan berlaku.
“Kita akan cuba letak sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir tetapi nak melepasi pusingan pertama dan kedua sudah sukar. Saya harap mereka boleh menampilkan aksi terbaik.
“Sebenarnya saingan kali ini lebih rumit kerana ada beberapa gandingan baharu, jadi kita tiada data corak permainan mereka. Ini adalah suasana baharu dalam acara beregu wanita,” katanya ketika ditemui pada sesi ujian gelanggang di Axiata Arena hari ini.
Antara beregu baharu dibentuk menjelang kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu adalah dua pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Chiharu Shida, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong (Korea Selatan) dan Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia).
Pearly-Thinaah dijangka berdepan aksi rumit pada pusingan pertama esok apabila dijadualkan bertemu Tria Mayasari-Siti Fadia yang dibentuk menerusi kaedah ‘scratch pair’.
Ketika ditanya mengenai keadaan fizikal beregu No. 6 dunia itu, Rosman menjelaskan, beliau masih belum dapat mengenal pasti kondisi Pearly-Thinaah dan hanya boleh dinilai pada kejohanan tersebut.
“Memang kita fokus untuk meningkatkan bahagian (fizikal) itu tetapi sama ada sudah berubah atau tidak, kena tengok dalam gelanggang nanti. Mereka akan berdepan lawan dan suasana yang berbeza,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE