fbpx

Terbuka Malaysia: Jun Hao gementar ganti Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HAO bertekad menampilkan prestasi terbaiknya pada kempen Terbuka Malaysia di Axiata Arena hari ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

PENAMPILAN sulung pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula hari ini sedikit menghadirkan gerun buat perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao.

Apa tidaknya, bekas juara remaja Asia itu menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara tersebut selepas pemain profesional, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri kerana belum pulih daripada kecederaan ligamen buku lali kanan.

Jun Hao berkata, dia sedia berbincang dengan barisan kejurulatihan bagi mengatasi rasa gugup, lebih-lebih lagi menggalas harapan seluruh rakyat Malaysia pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu.

“Tekanan itu sudah tentu ada kerana saya seorang sahaja (perseorangan lelaki) di Terbuka Malaysia. Apa yang pasti, saya akan keluarkan permainan sendiri dan bersedia sahaja aksi di dalam gelanggang.

“Saya rasa di mana-mana pun ada tekanan dan berbeza-beza. Di sini, kita adalah tuan rumah dan sudah tentu mahu capai keputusan lebih baik, jadi tekanan itu lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada sesi ujian gelanggang di Axiata Arena semalam.

Sebagai rekod, pemain No. 29 dunia itu mengharungi aksi cukup meyakinkan pada penghujung saingan musim lalu, terutamanya ketika mara ke perlawanan akhir Kumamoto Masters sebelum tewas kepada pemain China, Li Shi Feng.

Mengulas aksi pusingan pertama menentang seorang lagi pemain China, Lu Guang Zu, Jun Hao berkata, dia akan berwaspada memandangkan lawannya itu pernah menewaskan Zii Jia pada edisi tahun lalu.

“Saya tak pernah lawan dia sebelum ini tetapi dia seorang pemain yang sangat hebat kerana pernah menewaskan Zii Jia. Saya akan melakukan persiapan terbaik kerana pernah berdepan pemain-pemain China sebelum ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI