KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meluluskan permohonan Telegram bagi mendapatkan lesen untuk beroperasi di Malaysia pada Khamis minggu lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, manakala bagi permohonan Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, serta WhatsApp dijangka diselesaikan dalam terdekat.
“Jadi Telegram, TikTok dan WeChat sudah lulus dan Meta masih beberapa dokumen dalam proses nak hantar.
“Dijangka (dalam masa) terdekat akan selesai,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka.
Terdahulu, dua syarikat platform media sosial iaitu Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok), menjadi penyedia perkhidmatan pertama diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Sementara itu, Fahmi berkata, beliau juga telah mengarahkan pihak MCMC untuk mengadakan libat urus dengan Google yang mengendalikan YouTube untuk mengemukakan permohonan lesen operasi di Malaysia.
“Walaupun masih dalam urusan libat urus, Google diberi amaran tidak melanggar undang-undang dalam negara seperti membenarkan adanya video scam dan video judi dalam talian. Jadi tindakan masih boleh diambil,” ujarnya.
Mengulas mengenai aplikasi X, kata Fahmi, beliau menyerahkan kepada MCMC untuk berbincang berhubung jumlah penggunanya di Malaysia yang tidak mencapai nilai ambang iaitu 8 juta pengguna. – KOSMO! ONLINE