LIVERPOOL – Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dilapor bersedia untuk menawarkan kontrak baharu selama lima tahun bernilai £78 juta (RM435.68 juta) kepada pemain pertahanannya, Trent Alexander-Arnold.
Tawaran itu adalah usaha terakhir untuk mempertahankan pemain itu yang sedang diburu oleh Real Madrid, malah nilai berkenaan dikatakan menyamai pendapatan mingguan sebanyak £300,000 (RM1.67 juta) seperti yang sedia diberikan oleh gergasi La Liga berkenaan.
Perkembangan itu meletakkan Alexander-Arnold dalam dilema sama ada untuk kekal di Anfield dan menjadi bintang legenda atau berhijrah ke Santiago Bernabeu menyertai Real yang dianggap kelab terbesar di dunia.
Laporan menyebut, Liverpool tidak menerima permintaan daripada Alexander-Arnold untuk menjadi ketua pasukan kelab itu kerana sedar masanya akan tiba apabila Virgil Van Dijk bersara atau meninggalkan kelab berkenaan.
Bagaimanapun, satu lagi cabaran yang terpaksa dihadapi Liverpool ketika ini adalah mengenai bayaran menandatangani kontrak apabila Real sedia menawarkan Alexander-Arnold sejumlah
£20 juta (RM111.71 juta).
Ia dianggap sebagai bayaran bonus buat pemain itu memandangkan dia bakal bergelar ejen bebas pada hujung musim ini sekali gus menyaksikan Real tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk yuran perpindahan.
Situasi kontrak pemain pertahanan kanan itu meresahkan Liverpool apabila mereka terpaksa melepaskannya pada jendela perpindahan bulan ini bagi mengelak kerugian besar jika Alexander-Arnold berkeras untuk menolak tawaran.
Sekiranya ia berlaku, ia pastinya memberikan cabaran besar buat Liverpool dengan kehilangan Alexander-Arnold ketika mereka sedang mendahului saingan Liga Perdana Inggeris dan memburu kejuaraan. – AGENSI