PETALING JAYA – Terharu kerap menerima pujian selepas bertudung, pelakon Nora Danish enggan dianggap terlalu alim sehingga boleh membuka ruang kepada orang lain menghakimi setiap tindakannya.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, berkata, dia bimbang andai perubahan yang masih dalam fasa belajar ketika ini membuatkannya dilabel suci sehingga tidak boleh melakukan kesilapan.
“Dalam proses penghijrahan, saya tak nak sangat orang nampak saya ini suci, alim.
“Itu yang paling saya takut sebab nanti apabila saya melakukan satu kesalahan orang akan menilai kita munafik dan sebagainya,” katanya menerusi perkongsian dalam laman sosial sebuah produk kesihatan.
Memahami harapan ramai, begitupun ibu kepada dua cahaya mata itu memaklumkan, dia masih berusaha ke arah menjadi muslimah yang lebih baik.
“Saya pun memang dalam proses untuk menjadi yang lebih baik. Tidaklah sempurna tetapi lebih baik, itu sahaja yang saya nak sangat,” ujarnya.
Sebelum mengambil keputusan berhijab, pelakon filem Polis Evo 3 itu bukan sahaja kerap menghadiri majlis ilmu anjuran rakan selebriti bahkan sering dipuji netizen melihatkan penampilannya yang bertambah manis bertudung.
Keputusan Nora, 42, untuk kekal dengan penampilan menutup aurat selepas bercerai dengan bekas suaminya, Nedim Nazri sekitar Jun tahun lalu.
Sejak itu dia semakin kerap mengikuti sesi kuliah serta ceramah agama bersama rakan selebriti lain bagi menambahkan ilmu. – KOSMO! ONLINE