PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan piagam pelanggan baharu yang diberi penambahbaikan selari perubahan masa bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, objektif penambahbaikan piagam pelanggan itu juga bakal menjadikan agensi tersebut sebagai yang terunggul di dunia.
“Kali terakhir Piagam Pelanggan SPRM ditambah baik adalah pada tahun 2015 dan diguna pakai sehingga tahun 2024.
“Penambahbaikan ini merupakan komitmen serta jaminan SPRM kepada pelanggan dan pemegang taruh bahawa penyampaian perkhidmatan akan mematuhi piawaian kualiti yang ditetapkan,” katanya pada majlis Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Perhimpunan Bulanan di sini hari ini.
Tujuh perkara yang telah diberi penambahbaikan di dalam piagam pelanggan baharu itu termasuklah bertindak ke atas aduan berunsur rasuah dalam tempoh 24 jam selepas diterima.
Selain itu, pengadu boleh mengetahui status siasatan ke atas aduannya selepas 28 hari bekerja selain maklumat dan identiti pemberi maklumat dirahsiakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Keputusan tapisan keutuhan melalui sistem tapisan keutuhan (e-STK) juga akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari selain memberi maklum balas ke atas permohonan program pendidikan antirasuah yang diterima dalam tempoh lima hari bekerja.
Azam memberitahu, selaras Pelan Strategik SPRM 2021-2025, tiga hala tuju dan strategi utama difokuskan bagi Pencapaian Negara Bebas Rasuah.
“Tiga hala tuju tersebut ialah pemerkasaan penguatkuasaan berkesan (sektor operasi), pencegahan rasuah yang menyeluruh (sektor pencegahan) dan pembudayaan integriti (sektor pengurusan),” katanya. – KOSMO! ONLINE