KOTA KINABALU – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan memaklumkan kerajaan sudah melaksanakan perbincangan serta sesi libat urus bersama semua kerajaan negeri berkaitan langkah mengatasi isu keselamatan termasuklah insiden kebakaran membabitkan pusat tahfiz.
“Terdapat beberapa inisiatif yang sedang diusahakan oleh kerajaan Pusat dan diselaraskan dengan semua kerajaan negeri. Perbincangan dilakukan kerana perkara berkaitan hal ehwal pendidikan Islam adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.
“Kita menghormati bidang kuasa negeri (masing-masing) apabila membabitkan pendidikan Islam ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Seminar Kefahaman Madani bertempat di University College Sabah Foundation (USCF) hari ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, sesi libat urus dan perbincangan bersama semua kerajaan negeri itu dilakukan dengan mengambil kira semua aspek bagi memastikan keselamatan pelajar tahfiz.
“Dari aspek pentadbiran kita sudah lakukan, dari segi perundangannya pun kita cuba lakukan. Hal ini disebabkan Isu ini bukan isu picisan dan terpinggir,” katanya. – KOSMO! ONLINE