fbpx

Sering sakit, pitam jejaskan kehidupan harian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NABILAH menunjukkan laporan perubatan Ketika ditemui di rumahnya di Temerloh kelmarin.

TEMERLOH – Bermula dengan disahkan positif Covid-19 pada 16 Mac 2022, seorang wanita berdepan satu persatu ujian besar apabila terpaksa melakukan pembedahan bersalin pada hari berikutnya.

Selepas melakukan pembedahan itu, Siti Nabilah Suhaimi,34, yang positif Covid-19 meskipun menerima dua suntikan vaksin telah melakukan pemeriksaan sinar X (X-ray) bagi melihat keadaan paru-parunya.

Alangkah terkejutnya selepas disahkan pula mengalami jantung bengkak.

Kebimbangan ibu kepada empat anak itu belum berakhir apabila dia turut disahkan mengalami jantung berlubang dua bulan selepas itu iaitu pada Mei 2022.

Keadaan itu menyebabkan kehidupannya berubah apabila dia sering sakit dan pening kepala melampau, selain mengalami tekanan darah rendah yang tidak normal sehingga selalu pitam dan tidak boleh melakukan kerja berterusan.

“Saya terkejut apabila doktor menyatakan jantung saya berlubang 2 sentimeter dan tidak menyangka akan mengalaminya ketika usia begini.

“Doktor kata kalau keadaan kesihatan saya yang sentiasa ­sakit berlarutan, saya perlu me­lakukan pembedahan.

“Setiap pembedahan mempunyai risiko kerana faktor usia,”katanya di sini kelmarin.

Dia yang mempunyai empat orang anak berumur tiga, enam, sembilan dan 12 tahun berkata, ekoran itu kehidupan­nya berubah apabila sering berasa sakit dan tidak dapat melakukan aktiviti seperti biasa.

Katanya, untuk melakukan pembedahan bukan sahaja risiko yang terpaksa ditanggungnya malah, memerlukan perbelanjaan besar kerana dia perlu membayar separuh daripada kos yang dianggarkan lebih RM100,000.

Katanya, pada masa ini dia hanya bergantung kepada pendapatan sebagai pembantu klinik swasta, selain suaminya hanya bekerja sendiri bagi perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan tiga anaknya.

“Sememangnya agak sukar untuk saya mendapatkan wang untuk melakukan pembedahan dengan pendapatan kami sekeluarga pada masa ini.

“Saya amat mengharapkan agar ada pihak yang sudi membantu saya dalam hal ini,” kata­nya.

Sesiapa yang bersimpati dengan nasib Siti Nabilah dan ingin membantu boleh menghubungi talian 011-2695 0255 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156020527606 (Siti Nabilah Suhaimi).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI