PASUKAN Hoki Terengganu (THT) mempamerkan karakter tidak mudah mengaku kalah ketika bangkit membenam cabaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Ketua jurulatih THT, Mohd. Harfizi Baharom menyuarakan rasa puas apabila dapat merampas semula trofi berkenaan selepas dikecewakan lawan sama edisi tahun lalu apabila tewas 1-3.
Beliau berkata, semangat juang serta kemahuan tinggi ditunjukkan pemain-pemainnya menjadi azimat buat pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu bangkit dan memastikan Piala Sumbangsih menjadi milik mereka.
“Alhamdulillah kerana pertamanya, kita berjaya keluar daripada kekecewaan tahun lepas. Hari ini (kelmarin) juga kita cuba melakukan kebangkitan dengan pemain-pemain pun menunjukkan karakter masing-masing.
“Semua pemain memang bersemangat untuk bermain dan memenangi perlawanan. Kami juga tidak mahu perlawanan hari ini (kelmarin) berlanjutan sehingga ke penentuan pukulan penalti,” katanya.
Pada perlawanan itu, TNB terlebih dahulu mendahului 1-0 menerusi pukulan sudut penalti (PC) bintang Korea Selatan, Jang Jong Hyun pada minit ke-27 sebelum kembali disamakan Faizal Saari tiga minit kemudian.
Selepas percubaan demi percubaan, THT akhirnya berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang menyempurnakan PC pada minit ke-42.
Sementara itu, Harfizi turut menggesa anak-anak buahnya supaya memperbaiki beberapa kelemahan yang ada menjelang aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) menentang Maybank hari ini.