BERSYUKUR keluarga harmoni dan perniagaan terus kukuh, tiada apa lagi diharapkan pasangan selebriti Wawa Zainal dan Aeril Zafrel sempena kehadiran 2025.
Cukup andai rezeki diraih menerusi bisnes kosmetik yang sudah memasuki tahun ketujuh mampu memayungi kehidupan pekerja syarikatnya.
Mengakui pencapaian Wawa Cosmetics adalah berkat seluruh tenaga kerja, saban tahun hadiah berupa wang tunai dan pakej percutian ke luar negara antara ganjaran diberikan kepada mereka.
Tidak ketinggalan peluang mengerjakan umrah kepada kakitangan bertuah bersandarkan kriteria tertentu.
Bagi penutup 2024, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin serta suaminya membuat kejutan dengan menghadiahkan kereta jenis Bezza kepada pekerja paling cemerlang.
“Selepas setiap tahun hadiahkan wang tunai, barangan elektrik, pakej percutian serta umrah, tahun ini kami mahu berikan sesuatu yang berbeza.
“Sekali gus menjadi motivasi buat semua warga Wawa Cosmetics agar terus bersama-sama saya dan Aeril memacu syarikat ini dengan lebih agresif lagi.
“Mereka tunjang syarikat sejak kami mula bertatih enam tahun lalu, jadi kami akhiri 2024 dengan penutup yang manis iaitu sebuah kereta Bezza,” katanya.
Penyerahan kunci disempurnakan ketika majlis apresiasi serta sambutan tahun baharu 2025 bersama hampir 100 tetamu termasuk pekerja dan ahli keluarga mereka.
Pada malam ambang tahun baharu itu, pekerja serta jabatan cemerlang lain ada menerima wang tunai serta pakej percutian ke Jepun.
Kata ibu kepada empat anak itu, melihat wajah ceria kakitangan syarikatnya yang diraikan dengan cara istimewa sudah cukup membuatkan dia dan suami turut bahagia.
“Tanpa mereka, siapalah kami. Andai mereka gembira, sudah tentu produktiviti syarikat juga akan berganda,” ujarnya.
Biarpun perolehan syarikat sepanjang tahun ini tidak sebanyak 2023, pertengahan bulan lalu pasangan terbabit sekali lagi menunjukkan contoh yang baik apabila menunaikan tanggungjawab membayar zakat perniagaan sebanyak RM1 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).