SEBERANG PERAI – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini membenarkan tempoh tahanan reman terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun yang menikam ibu saudaranya dengan pisau disambung tiga hari lagi bermula esok.
Majistret Mohd. Harith Mohd Mazlan membenarkan permohonan sambung reman terhadap remaja itu sehingga 8 Januari ini bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, remaja terbabit yang ditahan pada Jumaat lalu direman selama tiga hari.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan seorang wanita cedera disyaki akibat ditikam oleh anak saudaranya sendiri dalam satu kejadian di Flat Jalan Perai Jaya, Perai dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi.
Berdasarkan siasatan awal, suspek telah tinggal bersama mangsa yang berusia 35 tahun itu sejak empat hari sebelum kejadian berlaku ekoran masalah keluarga.
Semasa di ruang tamu, telah berlaku pertengkaran mulut antara mereka kerana suspek ingin tinggal semula dengan ibu kandungnya, namun dihalang mangsa.
Suspek kemudiannya menikam mangsa menggunakan sebilah pisau menyebabkan kecederaan pada bahagian perut sebelah kiri. – KOSMO! ONLINE