fbpx

Penjawat awam lulus projek universiti disyaki terima suapan RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek (dua dari kiri) direman lima hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan RM50,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam ditahan reman selama lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM50,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 40-an itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber berkata, siasatan awal percaya suspek telah menerima suapan terbabit sebagai balasan menyokong dan memperakukan dokumen tuntutan bayaran bagi lima projek di sebuah universiti awam di negeri ini.

“Dia dipercayai menerima suapan tersebut yang dipindahkan ke dalam akaun bank milik isterinya.

“Perbuatan tersebut disyaki dilakukan pada tahun 2023 dan 2024,” katanya di sini hari ini.

Sumber berkata, penjawat awam terbabit telah ditahan sewaktu memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di sini pada pukul 1 tengah hari semalam.

Beliau berkata, isteri suspek turut telah ditahan, namun dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Tangkapan susulan mungkin akan dibuat bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI