PUTRAJAYA – Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka menggunakan peranti kamera badan bermula tahun ini bagi meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan khususnya melibatkan kenderaan berat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penggunaan peranti berkenaan juga bertujuan melindungi anggota ketika mereka melakukan penugasan di lapangan.
“Saya telah pun meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk berunding dan berbincang dengan pihak Kementerian Kewangan (MOF) supaya dapat peruntukan segera untuk kita peroleh peranti kamera badan.
“Saya harap anggota JPJ dalam tahun ini juga akan dilengkapi dengan peranti tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE