KLANG – Suasana di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, kecoh apabila waris tidak dibenar menyaksikan proses penggalian dan pemindahan kubur bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hari ini.
Kekecohan itu berlangsung kira-kira selama 30 minit dengan waris membanjiri lokasi berkenaan sejak pukul 8 pagi sebelum reda dengan kehadiran puluhan anggota polis yang mengawal ketat kawasan tersebut.
Lebih sayu, sepanjang proses tersebut didapati waris dan ahli keluarga hanya dapat melihat dari celahan pagar zink.
Seorang waris, Zainor Hafiz Kateman, 40, pihaknya kecewa kerana tidak diberi peluang memasuki tanah perkuburan itu dan penjelasan terperinci daripada pihak terlibat.
Katanya, dia akur dengan arahan penggalian dan pemindahan itu namun waris sekurang-kurangnya seorang dibenarkan turut melihat proses berkenaan di hadapan mata sendiri.
“Ini bagi memastikan proses itu berjalan lancar dan memuaskan hati kami melihat jenazah buat kali terakhir sebelum dipindahkan. Selain tidak dibenarkan masuk, pihak terlibat tidak memberi penjelasan terperinci mengenainya,” katanya ketika ditemui di lokasi itu.
Tinjauan mendapati dua jentolak mula melakukan proses menggali bermula kira-kira pukul 11 pagi dengan turut disertai beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kontraktor terlibat.
Berdasarkan notis ditampal di pagar tanah perkuburan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 18 Julai 2023 dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 9 Oktober tahun lalu telah menimbang teliti, meluluskan Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang terlibat dengan Jajaran ECRL berkenaan. – KOSMO! ONLINE