IPOH – Sistem Perpustakaan Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti serta Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC yang dilancarkan hari ini memberi manfaat kepada lebih 100,000 pengguna sekali gus membudayakan digitalisasi di dalam ekosistem Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Muhamad Rumzi Mamat berkata, usaha memperkasa transformasi digital sektor pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
“Sistem Perpustakaan Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti yang dibangunkan menggunakan sistem terbuka KOHA adalah langkah strategik ke arah mewujudkan perpustakaan digital bersifat inklusif dan mampan.
“Sistem ini bakal memberikan kemudahan carian bahan bacaan, akses kepada repositori kandungan tempatan, serta memperkasakan budaya digitalisasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Peluncuran Sistem Perpustakaan Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti serta Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini.
Muhamad Rumzi berkata, Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC yang dilancarkan itu merupakan perisian terkini pengurusan data secara real-time berkaitan POLYCC yang menyediakan maklumat terkini institusi seperti bilangan pelajar, statistik kakitangan, serta data pengurusan institusi secara komprehensif.
Katanya, sistem itu turut memanfaatkan data dari sistem MyMoheS Kementerian Pendidikan Tinggi yang dikemas kini empat kali setahun.
“Peluncuran kedua-dua sistem ini adalah hasil usaha gigih pelbagai pihak, termasuk pasukan petugas teknologi komunikasi maklumat (ICT) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), pustakawan, staf perpustakaan serta pengurus maklumat POLYCC.
“Sistem ini bakal memberi manfaat kepada warga POLYCC dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta melestarikan budaya pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Tambahnya, Peluncuran Sistem Perpustakaan Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti serta Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC adalah langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pendigitalan serta kesediaan POLYCC menghadapi cabaran masa depan dalam memacu kecemerlangan pendidikan teknikal dan vokasional negara. – KOSMO! ONLINE