JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi dua pekerja syarikat penyedia internet yang terkejut apabila mendapati mereka menerima tempahan untuk memasang perkhidmatan Wi-Fi di sebuah kawasan perkuburan, lapor laman berita Media Kampung.
Kejadian berlaku di Banyuwangi, wilayah Jawa Timur.
Dalam video tersebut, dua lelaki itu yang bercakap-cakap dalam bahasa Jawa Banyuwangi menyatakan rasa bingung dengan tempahan yang diterima mereka.
“Bagaimana sekarang? Dapat tempahan pemasangan Wi-Fi tetapi apabila diberikan lokasi, rupa-rupanya ia kawasan perkuburan,” kata salah seorang daripada mereka.
Tambah salah seorang lagi, individu yang membuat pesanan itu bernama Zaenal.
“Astaghfirullahalazim. Individu ini agaknya tidak ada kerja lain mahu dibuat. Di sini ada nama Zaenal,” katanya sambil menunjukkan sebuah batu nisan bertulis nama yang sama.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen dengan ada yang berkata bahawa ada pihak sekadar mahu bergurau.
Bagaimanapun setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai individu yang didakwa membuat pesanan tersebut dan ia kekal misteri. – AGENSI