PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi isyarat tangan tanda ‘bagus’ sejurus selepas keputusan Mahkamah Rayuan di sini membenarkan semakan kehakimanya berhubung kewujudan Titah Adendum.
Peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah anak guamnya turut berasa lega dan gembira kerana rayuan berpihak kepadanya.
“Dari jauh saya nampak dia menunjukan ibu jarinya ‘tanda bagus,’. Ia seperti bernafas semula…,” kata peguam itu ketika ditanya mengenai reaksi Najib selepas keputusan hari ini.
Sementara itu, Najib dalam laman sosial Facebooknya memanjatkan rasa syukur tidak terhingga terhadap keputusan hari ini.
“Syukur alhamdulillah. Hari ini kita melangkah satu langkah ke depan lagi,” katanya.
Terdahulu Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan itu dibuat majoriti 2 -1 dengan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib selaku pemohon manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd. Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.
Justeru mahkamah menetapkan 13 Januari bagi pengurusan kes seterusnya. – KOSMO! ONLINE