JAKARTA – Seorang lelaki di Sleman, Jogjakarta mengamuk sehingga mengadang sebatang jalan menggunakan bangku selepas mendapati motosikal miliknya hilang, lapor laman berita Detik semalam.
Dia turut memekik dan memarahi orang ramai di kawasan itu sebelum ditahan oleh beberapa anggota tentera yang kemudian membawanya ke balai polis.
Namun, lelaki tersebut kemudian memohon maaf selepas mendapati bahawa motosikal miliknya sebenarnya bukan hilang, sebaliknya tidak dibawa ke kedai.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, lelaki tersebut dikatakan baru selesai membeli rokok di sebuah kedai.
Dia kemudian mengamuk dengan menendang meja dan kerusi di sebuah warung apabila menyangka motosikal miliknya hilang.
“Beberapa bangku juga diambil dan diletakkan di tengah jalan. Sesiapa yang masih melalui jalan itu diherdik sehinggakan orang ramai terpaksa berpatah balik,” kata seorang saksi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Depok Barat, Asisten Komisioner Polis Andika Arya Pratama berkata, lalaki dikenali sebagai W itu dibawa ke balai oleh beberapa anggota tentera yang kebetulan berada di kawasan tersebut.
Menurut Andika, W menyangka motosikalnya hilang semasa dia membeli rokok di kedai.
“Namun selepas diselidik, dia sebenarnya tidak membawa motosikal ke kedai. Dia keluar dari rumahnya dengan berjalan kaki dan dalam keadaan mabuk ketika itu,” kata Andika.
Tambah Andika, W kemudian dibenarkan pulang ke rumah dan lelaki itu meminta maaf atas perbuatannya. – AGENSI