fbpx

Memanah perkukuh bisnes Muezza untuk miliki 100 cawangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anas membuat pembentangan tentang potensi model perniagaan Muezza kepada rakan niaga di Petaling Jaya baru-baru ini.

Usahawan ini pernah dikritik, persoal dan dipandang rendah kerana memilih bidang memanah untuk kerjaya masa depannya kerana ia dianggap satu bidang yang tidak menguntungkan.

Tetapi Ketua Pegawai Eksekutif Muezza Education Group Sdn. Bhd. (Muezza), Anas Izuan Azmi,36, berjaya membuktikan persepsi tersebut malah sukses membina empayar syarikatnya memperoleh pulangan daripada pelaburan hanya selepas dua hingga tiga bulan beroperasi.

Berkat kecekalan bekas guru yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang tersebut, penguasaan pasaran Muezza telah berkembang luas dengan pemilikan 56 cawangan di seluruh negara manakala bakal bertambah kepada 100 cawangan menjelang akhir tahun ini.

Ini bakal direalisasikan melalui pemeteraian perjanjian dengan 34 rakan niaga baharu untuk menceburi bidang perniagaan memanah yang bakal menyaksikan outlet-outlet baharu yang bermodalkan RM55,000 dibuka secara berperingkat bagi memenuhi keperluan pertambahan pelajar.

Selain beriadah, ibu bapa melihat anak-anak yang menceburi bidang sukan tersebut mampu meningkatkan keperibadian yang lebih baik malah menjadi seorang individu yang fokus, berani berdisiplin dan bertanggungjawab.

“Kami mahu pergi lebih jauh dalam bidang ini dan bakal membina sebuah kompleks sukan menjelang tahun 2026. Kami mahu membangunkan DNA Muezza dalam ekosistem yang berpotensi ini,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.

KOSMO!: Mengapa Anas memilih bidang memanah untuk dijadikan satu bisnes?
Anas: Saya dulu adalah guru sukan dan jika dilihat pada latar belakang pelajaran pun memang mengambil jurusan sukan, saya memang suka bersukan.

Kita tidak boleh berniaga ikut apa yang kita suka tetapi saya memi­lih sukan memanah sebab saya dapati ia berpotensi dan ketika itu tidak ramai usahawan yang terlibat dalam bidang ini.

Saya berpengalaman mengoperasikan perniagaan berasaskan mema­nah selama lapan tahun lalu yang melibatkan pelajar tadika dan sekarang saya telah bangunkan Muezza Education Group Sdn. Bhd. (Muezza) sejak dua tahun lima bulan.

Boleh jelaskan perkembangan terbaharu Muezza?
Kami sudah ada 56 cawangan yang meliputi hampir semua ne­geri. Baru-baru ini kami telah mengadakan satu majlis memeterai perjanjian untuk memuktamadkan pelantikan 34 lagi cawangan bersama rakan niaga yang baharu untuk membo­lehkan kami mencapai misi membuka sehingga 100 cawangan menjelang akhir tahun ini.

Bagi 56 cawangan sedia ada, ia terlibat dengan bisnes berkaitan aktiviti memanah, berenang dan juga bola sepak tetapi untuk program terbaharu dengan pelantikan rakan niaga baharu ini, ia hanya tertumpu kepada aktiviti memanah.

Dalam cawangan sedia ada (56 outlet), kami telah buka tawaran kepada enam rakan niaga yang berada di beberapa kawasan strategik seperti di Bertam, Pulau Pinang, Johor dan terbaharu di Kuantan.

Enam cawangan ini telah dioperasikan oleh usahawan dan telah mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan.

Bersandarkan kepada kejayaan tersebut, kami optimis untuk membuka peluang kepada usahawan lain dan inilah hasilnya, kami berjaya memiliki 34 usahawan baharu untuk merealisasikan misi syarikat untuk mengembangkan pasaran.

Berapakah modal setiap rakan niaga baharu ini?
Kami tawarkan modal RM55,000 yang mana ia meliputi semua kos termasuk pengubahsuaian premis dan pelbagai lagi.

Tiada kos tersembunyi dalam perniagaan ini dan ia adalah satu kadar yang berpatutan berbanding perniagaan berasaskan francais ataupun perlesenan dan ia adalah satu model perniagaan yang baik kerana pelabur akan dapat pulangan daripada pelaburan masing-masing selepas setahun setengah beroperasi, bagaimanapun selepas dua, tiga bulan beroperasi, mereka sudah mencatat pendapatan.

Berapa jumlah pelajar, tenaga kerja pada masa sekarang dan sasaran tahun depan?
Kami ada lebih 150 tenaga kerja yang terlibat dalam semua anak syarikat dan pelajar sekarang ada 4,000 orang, jadi dengan penambahan cawangan sehingga 100 outlet ini, kami sasarkan jumlah pelajar boleh cecah sehingga 10,000 orang.

Disebabkan pertambahan yang menggalakkan ini, kami bercadang untuk membangunkan sebuah Kompleks Sukan Muezza menjelang tahun 2026 dan gerak kerja untuk projek tersebut telah dimulakan mulai sekarang.

Berapakah yuran pelajar?
Yuran pelajar adalah RM100 untuk dua kali sesi sebulan manakala RM200 untuk empat sesi.

Ini adalah satu bayaran mampu milik untuk kami yang beroperasi dalam lot komersial yang diubahsuai se­perti studio berhawa dingin dan ada kemudahan mini gimnasium yang mana mereka perlu menjalani latihan memanaskan badan dan menguatkan otot sebelum memulakan aktiviti memanah.

Pada akhir sesi, kami akan adakan sesi talaqi yang mana pelajar akan diberi penerangan tentang disiplin, etika menghormati ibu bapa dan lain lain untuk meningkatkan ke­peribadian
mereka.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang perniagaan ini?

Yang utama adalah berkaitan dengan kakitangan, ini bukan bisnes jual produk dan ia boleh disimpan dan dijual pada pelanggan tetapi kami menawarkan perkhidmatan, jadi sebab itu kami perlu sentiasa mengutamakan kualiti perkhidmatan yang terbaik, jadi kualiti perkhidmatan itu perlu dikekalkan dan kami perlu menjaga perkhidmatan pelanggan dengan sebaiknya.

Cara kita uruskan 10 pekerja dengan 100 pekerja adalah satu perkara yang berbeza dan ia memiliki pendekatannya tersendiri, ia sebenarnya bergantung kepada cara kepimpinan kita.

Disebabkan itu, kami telah menubuhkan sebuah lagi anak syarikat iaitu Kolej Muezza yang mana kolej tersebut sudah memiliki dua kumpulan pelajar  kerana kami mahu bangunkan ‘dna’ kami sendiri dan bangunkan modal insan.

Mereka ini penting untuk memiliki karakter keperibadian yang baik untuk memudahkan mereka berinteraksi dengan pelajar dan mencari jalan bagaimana hendak mendekati pelajar. 

Pelajar akan minat belajar jika guru mereka pandai berinteraksi dengan mereka dan pandai menarik minat mereka.

Kami juga sering memfokuskan kepada penggunaan bahasa yang dengan pelajar dan memberi ganjaran kepada pelajar yang berjaya.

Sehubungan itu, kami menyeru mana-mana graduan yang berminat untuk menyertai kami dan seterusnya boleh diserapkan ke cawangan sedia ada kami. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI