PETALING JAYA – Orang kata ‘kalau tak kenal maka tak cinta’, begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap seorang YouTuber warga United Kingdom (UK) terhadap kereta milik datuknya iaitu sebuah Proton Iswara buatan Malaysia.
Melalui saluran YouTube Geoff Buys Cars, pemuda itu menjelaskan, Proton Iswara yang dijenamakan sebagai Proton Saga di UK milik datuknya itu merupakan sebuah kereta sedan buatan Malaysia pada tahun 1996.
Jelasnya, dia begitu terkejut dengan bentuk serta cara buatan kereta nasional itu dan beranggapan model tersebut merupakan sebuah kereta lengkap dan ringkas yang sebenar.
“Saya suka kereta yang ringkas dan kemas, ternyata inilah dia. Tak tahu kenapa, bagi saya kereta ini merupakan sebuah kereta lengkap yang sebenar.
“Ini kereta kesayangan datuk saya, dia beli model baharu pada tahun 1996 selepas dia bersara. Sehingga kini, Proton ini masih praktikal dan cukup sedap dipandu walaupun perjalanan jauh,” katanya.
Pengikut saluran YouTube itu juga turut meninggalkan komen pengalaman pemanduan mereka bersama Proton Iswara, ternyata ramai yang memuji model kedua Proton itu.
“Saya memiliki sebuah Proton ini selepas ayah meninggal. Sekarang walaupun saya memilik Range Rover, tetapi untuk perjalanan harian saya menggunakan Proton. Sungguh praktikal dan mempunyai kualiti terbaik,” jelas James Comoron.
“Masa muda saya, kereta pertama adalah Proton Iswara 1.3 Magma tahun 1997. Ketika membeli, saya pada awalnya tidak yakin sebab Malaysia bukan kuasa automobil ketika itu.
“Saya amat terkejut selepas hampir 35 tahun memilikinya, ternyata Proton adalah kereta terbaik di dunia. Syabas Malaysia,” ujar Steven Defoe.
Sebelum ini, Proton Iswara juga telah memenangi tempat pertama dalam satu pertandingan kereta antik di sebuah pertandingan auto di UK.
Model import tersebut juga pernah menjadi bualan hangat ketika eranya apabila siri televisyen terkenal BBC, Mr. Bean lakonan Rowan Atkinson melalui satu episodnya turut memaparkan model tersebut. – KOSMO! ONLINE.