PENGARUH bola sepak serta DNA Australia dijangka terus ‘menebal’ dalam skuad Harimau Malaya apabila dijangka melantik jurulatih muda, Mark Milligan sebagai penolong ketua jurulatih kepada Peter Cklamovski dalam masa terdekat.
Perkara itu didedahkan oleh bekas pemain import Liga Malaysia (Liga M), Rob Cornthwaite menerusi laman sosial X selepas Milligan sah meletakkan jawatan selaku penolong jurulatih pasukan Adelaide United.
Cornthwaite yang kini menjadi wartawan sukan media tempatan berkata, Milligan bakal mengikut jejak Cklamovski untuk mengembangkan karier di Malaysia.
“Bekas pembantu jurulatih pasukan Adelaide United, Mark Milligan akan berhijrah ke Malaysia.
“Dia akan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan yang akan dibentuk Peter Cklamovski,” kata Cornthwaite yang pernah menyarung jersi Selangor FC dan Perak FC sebelum ini.
Sementara itu, pPengarah bBoloa sSepak AdeilaideAdelaide, Marius Zanin dalam satu kenyataan turut mengesahkan Milligan meletakkan jawatan kerana menerima tawaran daripada luar negara.
“Milligan sudah sebati dengan bola sepak Adelaide United sejak berada dalam barisan kejurulatihan sejak 2022.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam fasa baharu kariernya selepas ini,” katanya.
Sekiranya spekulasi ini benar, Milligan bakal menjadi individu dari Australia ketiga menyertai ‘revolusi’ Harimau Malaya selepas Cklamovski dan Dr. Craig Duncan selaku ketua prestasi tinggi dan perubatan sukan bermula tahun ini.
Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menyediakan satu lagi kuota tambahan untuk posisi penolong ketua jurulatih buat Cklamovski yang dikhususkan buat ‘anak tempatan’.
Sebelum ini, posisi ‘orang kanan’ bekas ketua jurulatih, Pau Marti Vicente telah disandang oleh Juan Torres Garrido daripada Sepanyol dan E. Elavarasan sebagai pengendali tempatan. – KOSMO! ONLINE