KUALA LUMPUR – Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan momentum cemerlang apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas Maybank dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pasukan Maybank bermula garang dengan menguasai permainan dan memberikan tekanan hebat kepada pertahanan THT.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila Muhajir Abdu Rauf memecah kebuntuan melalui jaringan padang pada minit ke-12, meletakkan Maybank di hadapan.
Namun, THT tidak mengambil masa lama untuk bangkit selepas hanya lima minit kemudian, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyamakan kedudukan menerusi satu penyudah kemas pada minit ke-17.
Gol kemenangan THT hadir pada minit ke-27 apabila penyerang, Faizal Saari menyempurnakan peluang untuk memastikan tiga mata penuh buat pasukan.
Meskipun skuad kendalian Iman Gobinathan tewas, mereka mempamerkan disiplin taktikal yang mantap dengan beberapa percubaan berbahaya, namun gagal menewaskan penjaga gol THT dalam separuh masa kedua.
Kemenangan itu sekali gus memberikan suntikan semangat kepada THT dalam misi memburu gelaran juara musim ini.
Liga Hoki Malaysia akan bersambung pada 9 Januari dengan pertembungan antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB Thunderbolts. – KOSMO! ONLINE