PUTRAJAYA – ‘Laungan Bossku’ yang dilaungkan oleh penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak terus bergema di pekarangan Istana Kehakiman hari ini sebagai tanda solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, rata-rata penyokong hadir bukan sahaja dari ibu negara dan kawasan sekitar, malah ada yang datang dari Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.
Rata-rata penyokong turut menyifatkan kehadiran mereka sebagai menghargai jasa pernah disumbangkan Najib kepada rakyat ketika menjawat jawatan dalam kerajaan sebelum ini.
Menurut seorang penyokong yang mahu dikenali sebagai Rubi, 62, kehadirannya ke Istana Kehakiman sebagai memberi sokongan kepada Najib berikutan terhutang budi dengan sumbangan pemimpin itu.
“Saya hadir kerana mahu beri solidariti kepada Najib kerana jasanya yang banyak ketika menjadi Perdana Menteri.
“Sebagai insan yang hidup dalam era kepimpinan beliau dan pemimpin terdahulu, banyak sumbangan mereka yang membuatkan rakyat hidup selesa seperti hari ini,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Untuk rekod, hari ini Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh bagi pendengaran berhubung rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Sementara itu, menurut seorang lagi penyokong dari Marang, Terengganu dikenali sebagai Rizal, 42, harapannya ialah agar keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada rayuan Najib.
“Sebagai rakyat, kami mahu Najib diberikan peluang mengemukan rayuan berkaitan Titah Adendum yang mana ia merupakan antara pemimpin berjasa kepada negara.
“Sebagai contoh, kami penduduk Marang sangat terhutang budi kepada jasa beliau kerana memohon pembinaan jambatan untuk penduduk setempat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE