SUBANG JAYA – Polis masih menunggu masa yang sesuai untuk merakam keterangan dua individu yang baru sahaja sedarkan diri selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan 43 individu termasuk keluarga dan penganjur bagi membantu siasatan kematian empat individu sebelum ini.
“Seramai 43 individu termasuk penganjur konsert dan keluarga mereka yang terlibat telah dirakam percakapan setakat hari ini.
“Dua individu yang sudah sedarkan diri baru-baru ini, belum dirakam keterangan dan kita menunggu masa sesuai dari pihak PPUM,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, kes akan disiasat secara menyeluruh dari segi mati mengejut (SDR), jenayah dan aktiviti dadah.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis telah menerima laporan berhubung kematian empat individu yang menghadiri konsert itu sempena Tahun Baru 2025.
Insiden itu membabitkan empat mangsa termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Selain itu, tiga lagi mangsa turut dimasukkan ke hospital dan dipercayai semuanya mengambil ‘ekstasi’ ketika berada di konsert berkenaan. -KOSMO! ONLINE.