fbpx

Kerajaan kaji pelaksanaan Sistem Alamat Nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) dapat memastikan data alamat diuruskan secara domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, usaha tersebut merupakan langkah strategik kerajaan untuk melindungi kedaulatan data geospatial negara.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang giat menjalankan kajian pelaksanaan NAS.

“Apabila siap sepenuhnya, NAS akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang autoritatif dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara, melalui kerjasama erat antara pelbagai pihak berkepentingan.

“MCMC telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pemain industri geospatial tempatan dalam menjayakan misi NAS ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka.

Terdahulu, pertukaran dokumen antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad disaksikan Fahmi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Difahamkan, KDM merupakan inisiatif yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR bertujuan memodenkan sistem alamat melibatkan lebih 300,000 rumah di 623 kampung tradisional di Melaka.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Ketiadaan sumber alamat berautoritatif yang diiktiraf oleh kerajaan, menyebabkan data alamat diuruskan secara berasingan oleh agensi telah membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar.

“Dianggarkan lebih daripada RM700 juta dibelanjakan (kerajaan) setiap tahun untuk perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara.

“Ini telah menyebabkan ketirisan kepada pendapatan negara dan meningkatkan risiko terhadap pengurusan maklumat infrastruktur
kritikal negara (NCII) akibat ketiadaan sistem alamat yang bersepadu,” ujarnya.

Justeru, kata Fahmi, NAS juga telah dikenal pasti sebagai ‘Needle Mover’ di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

“Dengan pelaksanaan sistem NAS, kita tidak lagi perlu bergantung kepada kaedah tradisional seperti mengenal pasti alamat berdasarkan warna bumbung rumah, nombor tiang elektrik, atau tanda perbatuan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI