SHAH ALAM – “Kalau saya guna mandrem (ilmu hitam), tak mungkin kerap dapat berada di kedudukan tercorot.”
Itu respons penyanyi, Arrora Salwa yang juga peserta Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) apabila difitnah menggunakan ilmu hitam sebagai strategi untuk memenangi pertandingan tersebut.
Tidak goyah dengan dakwaan tersebut, Arrora, 40, hanya mengganggap segala komen dan khabar angin yang tersebar sebagai satu bentuk hiburan.
“Kalau saya individu yang gunakan ‘mandrem’ atau ‘mak esah’ (bomoh), mesti saya tak berada di tangga terbawah dan pastilah mahu menjadi lima peserta terbaik.
“Saya pun tak tahu kenapa cerita ini muncul. Sesiapa yang reka cerita ini, saya sangat berterima kasih sebab pahala anda mengalir kepada saya.
“Saya tak mahu tahu siapa individu yang buat cerita sebegini tetapi antara dia dengan Allah SWT, selesaikanlah nanti,” katanya kepada Kosmo! Online selepas konsert minggu ketujuh GV11 di sini, semalam.
Katanya, dakwaan sebegitu sudah kerap diterimanya daripada segelintir netizen dalam media sosial yang tidak berpuas hati dia masih bertanding dalam GV11.
“Memang ada beberapa orang sebut isu ini termasuk dalam ruangan komen media sosial dan sampaikan pada saya tetapi dibiarkan sahaja.
“Kemudian saya fikir, kalau guna ‘mak esah’, tak akan saya asyik berada di tangga tercorot sahaja, baik naik nombor satu terus.
“Itu yang saya cuba buktikan dengan lalu di bawah ampaian baju dan makan sate sebab ada pula cakap saya pakai susuk,” jelasnya.
Dia menambah, selagi komen negatif yang diterimanya tidak mengganggu kehidupan peribadi dan keluarga, tiada sebarang tindakan undang-undang yang akan diambil.
“Selagi tak ganggu nama baik, keluarga. Setakat ini saya okey dan hadap sahaja. Ada juga bincang dengan peguam tetapi dia beritahu saya ‘public figure’ dan benda ini memang akan berlaku.
“Setakat ini saya okey sahaja dan anggap semua itu sebagai hiburan. Bak kata Tok Ram, tin kosong jangan di layan. Itu prinsip yang saya pegang,” ujarnya.
Sebelum ini Arrora menyangkal tuduhan berbuat demikian sepanjang bertarung dalam GV11.
Malah, dia turut berkongsi amalan membaca ayat suci al-Quran bagi menghindari diri daripada terkena ilmu hitam. – KOSMO! ONLINE