fbpx

Juruterbang rugi lebih RM1 juta kena tipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KAJANG – Seorang juruterbang syarikat penerbangan di Malaysia mengalami kerugian RM1,366,885 akibat terpedaya pelaburan tidak wujud yang diiklankan di platform Instagram sejak Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor menerima satu laporan polis daripada pengadu tempatan berusia 50 tahun berkait penipuan pelaburan itu di daerah Kajang.

Katanya, juruterbang itu tidak dijanjikan pulangan secara spesifik dan hanya diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah dan pulangan yang lebih tinggi.

“Pengadu telah diberikan satu pautan untuk ke laman sesawang aplikasi UVKXE (https://www.uvkxewt.com/) oleh suspek dan diajar cara menggunakan aplikasi UVKXE tersebut sebelum melakukan transaksi kemasukan wang dari bulan Oktober sehingga Disember tahun lalu.

“Mangsa telah melakukan 34 transaksi ke dalam 10 akaun berbeza berjumlah RM1,366,885. Pengadu hanya mendapat pulangan sekali sahaja iaitu sebanyak RM4,300 dari keseluruhan jumlah wang yang dilaburkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek (scammer) mengarahkan mangsa untuk melakukan pengeluaran dari aplikasi tersebut dengan menekan ikon “withdrawal” (pengeluaran) dan memasukkan amaun yang mahu dikeluarkan yang kononnya bakal dimasukkan dalam masa 24 jam.

“Namun, setelah pengadu menekan ikon “withdrawal”, tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun pengadu dan pengadu berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis.

“Susulan maklumat diterima, satu kertas di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dibuka dan kes masih dalam siasatan,” jelasnya.

Beliau memberi peringatan kepada masyarakat umum supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah.

“Khususnya melalui aplikasi-aplikasi kewangan/pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI