PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) membuat keputusan mengejut apabila memecat pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-yong berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh PSSI sebentar tadi, tugas Tae-yong selaku pengendali utama skuad Sang Garuda dan pasukan bawah 23 (B-23) berakhir.
“PSSI mengesahkan penamatan kontrak Shin Tae-yong selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia senior dan skuad B-23.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan yang panjang dan matang serta penilaian yang dilakukan oleh PSSI dan Jawatankuasa Skuad Kebangsaan secara menyeluruh terhadap prestasi dan matlamat jangka panjang yang ingin dicapai oleh pasukan.
“PSSI mengucapkan terima kasih dan menghargai segala sumbangan yang telah diberikan untuk pembangunan pasukan kebangsaan Indonesia,” kata kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, Tae-yong yang pernah membimbing skuad antarabangsa Korea Selatan dilantik menjadi pengendali Indonesia bermula Januari 2020.
Antara pencapaian cemerlang Tae-yong adalah memacu Indonesia layak ke pentas Piala Asia 2023 selain bersaing dalam kempen kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2026 ketika ini. – KOSMO! ONLINE