DUA faktor utama wajar dijadikan perkiraan buat Arif Aiman Hanapi sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya, sama ada kekal di Johor Darul Ta’zim (JDT) ataupun berhijrah ke luar negara.
Selain mengambil kira tahap kompetitif pertandingan, proses pembelajaran tentang kelangsungan hidup di negara orang juga wajar diambil kira sebelum buat sebarang keputusan.
Bagi jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah, kekal di JDT sudah memadai kerana Harimau Selatan sudah terbukti mampu tawarkan suasana terbaik buat Arif Aiman.
“Kalau untuk (kelab) Asia, JDT sudah berada di tahap terbaik, kalau kekal pun tidak ada masalah. Pengurusan, fasiliti pasukan dan apa yang ditawarkan oleh JDT sudah terbukti antara yang terbaik di Asia.
“Selain ada persekitaran kompetitif, JDT pun turut beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Kecualilah kalau pindah ke liga yang lebih tinggi, kita akan sokong penuh.
“Ini hanya babitkan kelab Asia dan apa yang ada pada JDT hampir sama. Kalau peluang bermain di Eropah atau di liga lebih baik, saya rasa ia adalah kesempatan yang bagus buatnya.
“Mengenai gosip perpindahan ke Iran, kalau dia mahu dapatkan pengalaman dan belajar kelangsungan hidup di negara orang bagi mematangkan diri, ia mungkin bagus dan kita juga agak bersetuju,” katanya.
Ketika ini bintang sensasi Harimau Malaya itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Iran, Persepolis yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Raja Isa merasakan sokongan terhadap perpindahan Arif mungkin berbeza sekiranya JDT tidak bermain di ACLE namun sekarang ini Harimau Selatan masih bersaing hebat dengan kelab besar di Asia.