fbpx

Jabatan Penjara tidak terima perintah tahanan penjara Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin bercakap pada sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.

“Pada 2 Februari 2024, KDN khususnya Jabatan Penjara, kita menerima surat daripada BHEUU iaitu sekretariat dalam Lembaga Pengampunan dan dalam surat itu ada dua perkara, pertama disertakan minit mesyuarat dan kedua ialah perintah.

“Minit mesyuarat mengandungi semua perbincangan yang berlangsung (dalam Lembaga Pengampunan), itu saya tidak boleh dedah sebab rahsia besar.

“Dan perintah pula ialah mengenai pengurangan hukuman ke atas Datuk Seri Najib seperti mana yang diketahui sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, berdasarkan perintah yang yang diterima ketika itu, Najib diberi pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

“Manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta dan sekiranya tidak dibayar, tempoh penjara ditambah selama setahun dengan tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.

“Perintah itu ditandatangi oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa,” katanya.

Katanya, surat diterima Jabatan Penjara tidak ada menyebut tahanan rumah.

“Sebagai jabatan yang melaksanakan perintah oleh Pengerusi Lembaga Pengampunan (Al-Sultan Abdullah), maka Jabatan Penjara harus amanah dalam melaksanakannya dan itulah yang kami laksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI