JAKARTA – Seorang wanita di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan menyerbu majlis perkahwinan suaminya dengan isteri baharu kerana berang lelaki tersebut tidak memberikan nafkah kepada dia dan anak-anak mereka, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Berdasarkan sebuah video tular, seorang wanita dan anak perempuannya menyerbu majlis yang diadakan di sebuah hotel itu.
Wanita tersebut memarahi suaminya di hadapan tetamu undangan dan ahli keluarga pengantin perempuan serta membuat kecoh.
Menurut si anak yang bernama Delimah, dia dan abang-abangnya tidak bersetuju dengan perkahwinan bapa mereka kerana sikap bapanya yang tidak bertanggungjawab berhubung soal nafkah.
Menurut remaja berusia 16 tahun itu, dia marah dan kecewa melihat bapanya tergamak berkahwin lagi.
“Bapa sudah lama tidak memberi nafkah kepada kami mahupun selepas dia menerima wasiat daripada arwah datuk saya iaitu hotel di Jakarta.
“Jangankan puluhan ribu (rupiah), bapa seolah-olah sudah melupakan kami, anak-anaknya kerana wanita tersebut,” katanya.
Tambah Delimah, pada awalnya, bapa dan ibunya kerap bergaduh dan tidak lama kemudian, dia menjalin hubungan dengan janda seorang anak itu.
“Bapa pernah mengugut untuk menceraikan ibu, namun sehingga kini mereka belum bercerai,” katanya. – AGENSI