fbpx

Indonesia belanja lebih RM19 bilion bekal makanan percuma 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAJAR makan hidangan percuma di sebuah sekolah menengah rendah di Cimahi, Jawa Barat hari ini. – AFP 

JAKARTA – Indonesia melancarkan program makanan percuma bernilai 71 trilion rupiah (RM19.4 bilion) hari ini bagi memerangi tumbesaran terbantut akibat kekurangan zat seperti pernah dijanjikan oleh Presiden Prabowo Subianto pada kempen pilihan raya lalu.

Prabowo berjanji menyediakan makanan berzat secara percuma kepada berpuluh-puluh juta murid sekolah dan wanita mengandung untuk meningkatkan kualiti hidup mereka dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Ini hari bersejarah untuk Indonesia kerana buat kali pertama, program nutrisi kepada anak kecil, pelajar, wanita mengandung dan ibu menyusukan anak dilancarkan,” kata jurucakap kepresidenan, Hasan Nasbi 

Sekurang-kurangnya 190 dapur diuruskan perkhidmatan katering pihak ketiga dibuka di seluruh negara, termasuk di sebilangan pangkalan tentera. Dapur-dapur itu sibuk menyediakan hidangan dari waktu tengah malam untuk diagihkan kepada murid sekolah dan wanita hamil.

Seorang murid tahun dua, Khalifa Eldrian gembira selepas menghabiskan hidangan makan tengah hari percumanya terdiri daripada nasi, ayam, sayur dan sebiji pisang di sebuah sekolah rendah di Jakarta Timur.

“Saya gembira kerana makanan ini sedap. Saya boleh memberi tumpuan lebih semasa belajar,” katanya kepada AFP.

Kerajaan menyediakan peruntukan 10,000 rupiah (RM2.79) untuk setiap hidangan dan dana 71 trilion rupiah untuk menjayakan program itu pada tahun fiskal 2025. Program sama dijangka dapat mengagihkan hidangan percuma kepada 83 juta orang menjelang tahun 2029.

Tumbesaran terbantut menjejaskan 21.5 peratus kanak-kanak di Indonesia yang mempunyai kira-kira 282 juta penduduk. Negara Asia Tenggara itu menetapkan rancangan mengurangkan kadar tersebut kepada cuma 5 peratus menjelang 2045. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI