fbpx

Hujan sangat lebat di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula Khamis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat dan berterusan yang dijangka melanda bahagian timur dan selatan Semenanjung bermula Khamis ini sehingga 13 Januari depan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, memaklumkan, ramalan itu dibuat berdasarkan analisis model ramalan cuaca terkini yang menunjukkan luruan monsun kuat dijangka memasuki kawasan negara dalam tempoh berkenaan.

“Kawasan barat Semenanjung juga berisiko mengalami hujan berterusan sepanjang tempoh tersebut. Berikutan daripada luruan monsun kuat ini juga, perairan Laut China Selatan dijangka mengalami angin kencang dan laut bergelora.

“Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan laut. Kenaikan paras air laut turut dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan amaran hujan berterusan sebaik sahaja dapatan model-model ramalan cuaca mencapai tahap keyakinan tinggi.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

“Ia boleh dibuat melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI