PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga pukul 7 petang.
MetMalaysia memaklumkan, negeri-negeri yang terlibat termasuk Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Sabah.
“Di Perak, keadaan ini menjejaskan keseluruhan kawasan. Manakala di Terengganu meliputi Hulu Terengganu dan Dungun,” katanya.
Bagi Pahang, hujan lebat diramalkan melanda Bentong, Maran, Bera dan Rompin.
“Sementara di Selangor melibatkan kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat,” kata MetMalaysia.
MetMalaysia turut menyatakan bahawa kawasan lain yang terlibat ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Jempol di Negeri Sembilan.
“Di Johor, daerah yang terjejas adalah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi,” tambahnya.
“Di Sarawak merangkumi bahagian Sri Aman, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu, Mukah (Mukah), Kapit (Song), Bintulu, Miri (Subis, Miri dan Marudi) serta Limbang, manakala Sabah (Pedalaman (Sipitang dan Tambunan), Pantai Barat (Tuaran dan Kota Belud) serta Tawau (Tawau dan Kunak),” jelas kenyataan itu.
MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai supaya berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan serta mengelakkan daripada berada di kawasan berisiko untuk banjir. – KOSMO! ONLINE