KUALA LUMPUR – Bintang hoki negara, Faizal Saari memulakan tahun ke-12 bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT) dengan penuh gemilang apabila memainkan peranan penting menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk merampas Piala Sumbangsih 2025.
Penyerang prolifik berusia 33 tahun itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai langkah awal buat THT dalam misi memburu kejuaraan trebel dalam saingan Liga Hoki Malaysia ( MHL) musim ini.
“Alhamdulillah, THT berjaya menang Piala Sumbangsih. Saya rasa ini permulaan yang baik untuk pasukan hoki Terengganu. Orang cakap, kita nikmati kemenangan ini dulu sebelum kembali fokus,” ujar Faizal.
Faizal yang telah menjadi tonggak utama pasukan sejak lebih sedekad lalu, bertekad untuk membantu THT mengekalkan konsistensi sepanjang musim ini.
“Untuk negeri kelahiran saya, ini tahun ke-12 bersama THT. Saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu pasukan mencapai kejuaraan. Setiap perlawanan penting, jadi saya harap THT dapat kekalkan momentum dan tidak hilang mata dalam liga kali ini,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai penglibatannya di peringkat kebangsaan, Faizal mengakui fokus utamanya kini tertumpu kepada membantu THT dalam saingan liga.
“Buat masa sekarang, saya belum fikir pasal pasukan kebangsaan. Dalam tempoh 30-40 hari ini, fokus saya adalah pada liga dahulu,” jelasnya.
Kemenangan Piala Sumbangsih menjadi pemangkin semangat untuk THT memburu gelaran juara MHL sekali gus memecah dominasi TNB yang merangkul kejuraaan treble musim lalu.
Faizal akan turun membantu THT bertemu Maybank di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil petang ini. – KOSMO! ONLINE